Kemahiran Bertutur
i. Pengenalan
Kemahiran bertutur merujuk kepada keupayaan pelajar
berbicara untuk menjalinkan hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat,
perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang
betul secara spontan. Penekanan diberikan kepada penggunaan pengucapan yang
menggunakan tatabahasa yang betul, dan juga berdasarkan konteks yang sesuai.
Kesimpulannya, pengajaran dan pembelajaran kemahiran
bertutur membolehkan pelajar menguasai kemahiran bercakap dengan tenang, dalam
gaya (nada, intonasi dan tekanan) yang betul, lancar dan fasih mengikut situasi
dan keperluan.
ii. Jenis Pertuturan
a. Pertuturan
Sehala
Tahukah anda apa yang dimaksudkan dengan pertuturan
sehala? Pertuturan sehala bolehlah ditakrifkan sebagai penyampaian mesej yang
tidak menerima sebarang maklum balas secara spontan. Pengirim menyampaikan
mesej manakala penerima tidak memberi sebarang maklum balas sesuai secara
spontan. Ciri-ciri
· Penyampai aktif
· Penerima pasif
· Tiada maklum balas spontan
· Bahasa jelas dan sesuai
· Keberkesanan komunikasi bergantung kepada penyampai
· Khalayak besar
Jenis-jenis Aktiviti
§ Taklimat
§ Pengumuman
§ Pengucapan Awam
§ Memberi arahan/panduan
§ Pengacaraan Majlis
b. Pertuturan
Dua Hala
Pertuturan dua hala pula boleh berlaku dalam pelbagai situasi.
Apa yang terjadi ialah satu pihak menyampaikan maklumat dan satu pihak lagi
menerima dan memberi respons kepada pihak penyampai tadi. Komunikasi ini
berlaku secara spontan dalam satu masa dan di tempat yang serupa. Ciri-cirinya
ialah penyampai dan penerima saling berinteraksi, penyampai dan penerima saling
bersemuka, dan ada maklum balas spontan. Jenis-jenis aktiviti dua hala ialah;
· Dialog
· Forum
· Wawancara / temu bual
· Perbincangan
· Perbahasan
· Mesyuarat
iii. Peringkat –Peringkat Kemahiran Bertutur
Untuk mencapai objektif pengajaran bertutur iaitu
bertutur dengan fasih dan dapat mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan
bahasa yang tepat dan sesuai dalam pelbagai situasi perhubungan di sekolah dan
dalam masyarakat, maka sudah tentulah kemahiran bertutur itu perlu dikuasai
secara berperingkat-peringkat. Dengan itu, mari kita lihat peringkat-peringkat
kemahiran bertutur iaitu peringkat pertuturan rendah dan peringkat pertuturan
tinggi.
a. Peringkat
Rendah
Pertuturan
tentang hal-hal yang berlaku di sekitar diri dan pengalaman murid seperti;
· Berbual
tentang perkara yang berkaitan dengan kehidupan harian dengan menggunakan kata,
sebutan dan intonasi, serta nada yang sesuai.
· Bersoal
jawab secara bertatasusila tentang sesuatu perkara dengan menggunakan pelbagai
soalan.
· Menyatakan
perasaan secara terus terang dan beradab tentang sesuatu perkara.
b. Peringkat Tinggi
Pertuturan
untuk membuat analisis atau inferens, ramalan, pandangan, dan justifikasi
seperti;
· Mengemukakan
pendapat/cadangan yang bernas dalam perbincangan.
· Berunding
secara santun untuk mendapatkan persetujuan dan kata sepakat.
· Membuat
pertimbangan untuk mencapai keputusan.
· Menyampaikan
maklumat untuk tujuan tertentu
· Memberi
respons peribadi tentang karya sastera
· Memberi
respons peribadi tentang karya sastera
iv. Aktiviti Pengajaran Kemahiran Bertutur
Teknik pengajaran boleh direalisasikan di dalam bilik
darjah melalui aktiviti-aktiviti pembelajaran. Sepertimana teknik, terdapat
juga pelbagai aktiviti yang boleh dijalankan semasa mengajar kemahiran bertutur
ini. Modul ini hanya menerangkan beberapa contoh aktiviti yang sering digunakan
oleh guru di dalam bilik darjah.
a. Perbualan
Aktiviti perbualan dijalankan untuk melatih pelajar
berbicara dengan menggunakan kata, intonasi dan nada, ayat dan ungkapan yang
sesuai dan betul semasa berhubung dengan orang lain dalam kehidupan hariannya.
Selain daripada itu ianya juga boleh menyampaikan maksud yang tersurat atau
tersirat berdasarkan bahan yang dikemukakan kepadanya.
Azam: Adik, tolong ambilkan abang
buku cerita itu!
Azmi : Baik abang. Nanti adik ambil.
Azam: Emak, boleh saya pergi bermain
bola di padang?
Emak : Boleh. Tapi, Azam sudah
habiskan kerja rumahkah?
Dua situasi perbualan di atas menunjukkan tatacara
berbual yang baik dan santun. Perbualan ini menunjukkan dua cara yang berlainan
mengikut intonasi dan kata sapaan kata ganti nama diri yang digunakan oleh
orang yang berbual. Dengan itu, untuk memastikan perbualan itu menggunakan
pertuturan yang baik, orang yang bertutur mestilah tahu menggunakan kata-kata,
ayat dan intonasi yang sesuai dengan konteks dan latar orang yang dilawan
bertutur itu.
b. Memberi Pendapat
Aktiviti memberi pendapat membolehkan pelajar
mencetuskan, menghuraikan dan mengemukakan idea yang bernas dalam perbincangan.
Pelajar boleh mengaitkan pengalaman dan pemerhatian sendiri untuk menyokong
pandangan misalnya tentang kesan perisa yang digunakan dalam makanan terhadap
kesihatan. Pelajar boleh melanjutkan pandangannya seperti memberikan akibat, tujuan
atau sebab- musabab.
c. Simulasi
Teknik simulasi ialah teknik yang memerlukan keadaan
atau situasi sosial yang sebenar. Para pelajar perlu membayangkan keadaan
tersebut terlebih dahulu sebelum melakonkannya dalam situasi tiruan berdasarkan
bahan rangsangan yang disediakan. Contoh langkah-langkah pengajaran menggunakan
teknik simulasi ialah;
· Pelajar diberikan kad peranan berdasarkan situasi
tertentu
· Pelajar melakonkan peranan secara individu ataupun
secara kumpulan berdasarkan arahan dalam kad peranan
· Guru dan pelajar membuat rumusan tentang peranan yang
telah dimainkan
· Guru memberi aktiviti susulan
Contoh kad arahan
KAD A
Anda sebagai kerani pos sedang melayan pelanggan di
kaunter dengan mesra.
KAD B
Anda sebagai pelajar ingin membeli setem kenang-kenangan
sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke -42. Anda ingin mendapat kepastian
sama ada setem itu masih ada lagi atau sudah kehabisan stok, di samping itu
anda diminta membantu seorang tua untuk mengisi borang kiriman wang.
KAD C
Sebagai seorang tua yang menghadapi masalah untuk
mengisi borang kiriman wang, anda meminta bantuan daripada seorang pelajar
untuk melengkapkan borang tersebut. Anda dikehendaki menyatakan butiran yang
diperlukan kepada pelajar itu.
d. Main Peranan
Main Peranan ialah teknik pengajaran bahasa yang
melibatkan gambaran pelajar terhadap situasi dan melakonkan peranan yang diberi
berdasarkan situasi tertentu tanpa bantuan skrip. Teknik ini mementingkan
interaksi pelajar secara individu atau kumpulan. Langkah-langkah pengajaran;
· Sediakan satu situasi sebenar untuk aktiviti main
peranan yang dicadangkan
· Tentukan watak-watak yang terlibat di kalangan pelajar
· Pelajar diminta melakonkan peranan yang diberi
· Guru dan pelajar membuat rumusan
Contoh:
Dua orang rakan anda telah ditahan oleh guru disiplin
di pintu masuk ke sekolah anda. Dengan menggunakan teknik main peranan,
lakonkan situasi tersebut.
e. Perbincangan
Perbincangan ialah satu aktiviti lisan yang berbentuk
perbualan. Sewaktu perbincangan dijalankan, pelajar-pelajar dikehendaki
mengambil bahagian aktif untuk menyatakan pandangan dan pendapat mereka
mengenai sesuatu topik. Langkah-langkah pengajaran;
· Guru memilih tajuk yang sesuai untuk dibincangkan
· Bahan-bahan rujukan yang berkaitan dengan tajuk perlu
disediakan
· Guru menerangkan prosedur perbincangan
· Guru membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan dan
memilih ketua serta pencatat bagi setiap kumpulan
· Pelajar menjalankan perbincangan dan membentangkan
hasil perbincangan kumpulan
· Guru memberi aktiviti dan membuat rumusan
v. Pembinaan
dan Penggunaan Bahan Sumber
Anda telahpun membaca tentang pemilihan dan
penghasilan bahan untuk kemahiran mendengar. Sebenarnya, proses pemilihan bahan
untuk kemahiran bertutur dan kemahiran mendengar adalah sama sahaja. Oleh itu,
tidak perlulah lagi kita mengulang memperkatakan proses pemilihan bahan ini.
Baik kita teruskan perbincangan mengenai jenis bahan bantu mengajar untuk
kemahiran bertutur itu mengikut aktiviti kemahiran itu sendiri.
a. Aktiviti
Perbualan
Untuk melatih murid-murid supaya dapat berbual dan
berbicara dengan menggunakan kata, intonasi, nada, struktur ayat dan ungkapan
yang betul, alat-alat yang boleh digunakan ialah pita rakaman, gambar-gambar
bersiri, carta, kad-kad imbasan tanpa gambar dan bergambar, filem dan slaid.
b. Aktiviti
Memberi Pendapat
Bahan-bahan untuk aktiviti memberikan pendapat yang
bernas sebagai sumbangan dalam perbincangan ini selalunya disediakan oleh guru
dan disesuaikan dengan kebolehan dan kematangan murid. Contohnya adalah seperti
dialog, seni kata lagu, sajak, pantun, petikan rencana/isu semasa daripada
akhbar/majalah dan petikan peristiwa dalam cerpen/novel.
c. Aktiviti
Bercerita
Bercerita merupakan satu aktiviti yang menarik yang
membolehkan murid-murid menggunakan daya imaginasi yang tinggi serta kreatif
semasa menyampaikan cerita melalui kemahiran pertuturan. Oleh itu guru perlulah
menyediakan bahan–bahan yang boleh menimbulkan rangsangan kepada murid. Contoh
arahan;
Ini ialah gambar tunggal pemandangan sebuah rumah yang
terletak di tebing sebuah sungai. Berdasarkan gambar ini guru boleh meminta
murid mereka cerita dengan menggunakan imaginasi sendiri hingga menjadi sebuah
cerpen yang menarik.
Seperkara lagi, perlu diingat bahawa bahan pengajaran
yang digunakan dalam aktiviti latihan kemahiran bertutur sebaik-baiknya terdiri
daripada bahan–bahan yang autentik ataupun bahan-bahan yang diambil
daripada sumber asal. Contohnya, rencana kesihatan, berita bencana alam
(banjir, kebakaran, tanah runtuh, angin puting beliung dan sebagainya), petikan
cerpen,forum, bacaan sajak, syair, pantun dan lain-lain yang diambil daripada
siaran radio atau televisyen. Penggunaan pelbagai bahan daripada sumber asal
dalam pengajaran bertutur ini penting kerana bahan-bahan tersebut mengandungi
ciri-ciri utama dalam bahasa pertuturan yang perlu dicontohi oleh murid-murid.
Kesimpulannya,
Contoh penggunaan alat bantu mengajar yang telah
dibincangkan tadi merupakan panduan sahaja. Oleh itu, anda bolehlah
mengubahsuaikannya mengikut keperluan dan keadaan yang sesuai dengan peringkat
pembelajaran pelajar. Apa yang penting ialah bagaimana anda dapat melibatkan
murid secara aktif dalam aktiviti yang menyediakan peluang untuk mereka
menggunakan bahasa dengan berkesan dan berkeyakinan untuk bertutur dan
memberikan pendapat secara kreatif dan kritis.
Sesungguhnya, keberkesanan alat bantu mengajar
bergantung pada sejauh mana deria seseorang itu dilibatkan. Oleh itu,
pendekatan yang melibatkan pelbagai deria melalui pelbagai bahan, media atau
alat bantu mengajar itu adalah perlu untuk menghasilkan pembelajaran yang lebih
berkesan dan bermakna.
vi. Penilaian Kemahiran Bertutur
Banyak aspek yang perlu diberi pertimbangan semasa
hendak membuat penilaian kemahiran bertutur. Antaranya ialah aspek fonologi,
tatabahasa, leksikal, konteks dan aspek-aspek bahasa yang lain. Apabila hendak
membuat penilaian dalam aspek fonologi kita hendaklah melihat pelajar tersebut
boleh menyebut dengan betul dan tepat tentang sesuatu perkataan, frasa atau
ayat yang diminta oleh gurunya atau ayat yang dibina sendiri. Sebutan yang
dimaksudkan itu ialah dari segi nada dan intonasi serta jeda dan tekanan.
Maknanya murid tersebut mestilah boleh menyebut frasa dan ayat-ayat yang
dibentuknya dengan intonasi yang betul dan membuat hentian mengikut unit-unit
makna yang sesuai. Nada, kenyaringan dan kelantangan suara harus juga dikawal
dan dihasilkan bersesuaian dengan situasi dan konteks pertuturan. Kepantasan
bertutur juga perlu wujud dengan gerak anggota seperti mimik muka, gerak mata,
tangan dan sebagainya. Semua ini akan menghidupkan lagi suasana pertuturan
yang baik kerana ini dapat menentukan makna sesuatu ujaran yang diucapkan.
Pada aspek tatabahasa pula, salah satu penilaian yang
boleh dilaksanakan ialah dari segi transformasi ayat. Contohnya, penilaian pada
kecekapan pelajar menuturkan ayat cakap ajuk atau ayat cakap pindah semasa
menceritakan atau menyatakan sesuatu perkara dalam aktiviti di dalam kelas.
Aspek leksikal juga tidak kurang pentingnya untuk
dinilai oleh seseorang guru bahasa untuk memastikan sama ada nama-nama objek
yang dituturkan itu betul atau tidak.
Guru menunjukkan sekeping gambar kepada pelajar dan
meminta pelajar menyebut nama objek yang terdapat di dalam gambar tersebut.
Adakah muridnya akan menyebut ‘harimau,’ ‘halimau,’ ‘ghimau’ atau ‘haghimau’ ?
Di sini guru boleh membuat penilaian aspek leksikal pelajarnya dan mungkin
boleh membuat aktiviti susulan untuk membetulkan kesilapan sebutan pelajarnya.
Seseorang yang dianggap petah berkata-kata pula ialah
seseorang yang menguasai perbendaharaan kata, memilih dan menggunakannya
bertepatan dengan konteks untuk menyampaikan maklumat yang hendak diberitahunya
itu dengan jelas dan tepat. Dengan itu, dia mampu membentuk frasa dan ayat-ayat
yang betul, iaitu tepat dari segi makna dan struktur. Dia juga pandai
menggunakan sesuatu perkataaan itu dengan berbagai cara dan makna yang
berbeza-beza berdasarkan bentuk binaannya yang berbeza juga. Contoh:
Sekumpulan pengembara telah membuat satu ekspedisi di
Hutan Lipur Bukit Hijau. Setelah berjalan beberapa kilometer mereka berhenti
untuk melepaskan penat. Di sini berlaku dialog antara dua orang pengembara;
A: Eh! Eh! Hauslah.
B: Kalau haus minumlah.
A: Maksud
aku bukan haus hendak minum air tetapi kasut aku ini, tapaknya telah haus.
B: Oh ! Aku ingatkan kau dahaga.
Perbualan di atas menunjukkan makna perkataan haus bagi
Si A merujuk kepada tapak kasutnya yang menipis manakala makna perkataan haus
bagi Si B pula ialah dahaga. Inilah yang disebut makna perkataan mengikut
konteks.
Satu lagi aspek yang penting dalam pertuturan ialah
aspek ketatasusilaan berbahasa yang perlu diguna mengikut situasi yang sesuai.
Contohnya, bahasa Melayu mempunyai ujaran-ujaran hormat untuk mempersilakan
tetamu masuk ke rumah, mempersilakan makan, meminta pertolongan dan
berbagai-bagai lagi. Demikian juga, bahasa Melayu mempunyai sistem panggilan
dan sapaan yang khusus untuk merujuk seseorang yang menjadi lawan kita
bertutur. Kata sapaan itu hendaklah digunakan dengan betul dalam suatu
interaksi yang kita hadapi.
Contoh:
a. Silalah
masuk.
b. Jemputlah
makan.
c. Boleh
pinjamkan saya buku itu.
d. Abang Long,
marilah main dengan Angah.
Contoh ayat-ayat di atas merujuk kepada ujaran-ujaran
hormat seseorang kepada orang yang dilawan bercakap. Seseorang itu akan
menggunakan leksikon (perbendaharaan kata) tertentu dan berbeza-beza apabila
berkomunikasi dengan orang lain berdasarkan situasi tertentu.
Tegasnya, pengguna bahasa Melayu perlulah menggunakan
bahasa itu dengan betul iaitu tepat dari segi tatabahasa dan juga kesesuaian
penggunaannya dengan konteks-konteks tertentu. Oleh yang demikian, penilaian
dan pengujian terhadap kemahiran bertutur haruslah mempertimbangkan semua aspek
bahasa dan tahu berbahasa ini.
Penutup
Pengajaran dan pembelajara kemahiran lisan melibatkan
proses penyampaian dan penerimaan mesej. Ini memerlukan komunikasi yang jelas antara
orang yang mendengar dan bertutur itu. Sudah tentu dalam proses berkomunikasi
itu terdapat banyak halangan dan pengaruh tertentu mengikut latar penutur,
konteks dan judul pertuturan. Contohnhya, pembelajaran lisan untuk penutur
pertama dan kedua. Kita sedia maklum masalah bagi penutur kedua. Mereka belajar
bahasa yang asing daripada bahasa ibunda mereka. Lantas mereka mempunyai segala
masalah daripada penggunaan alat artikulasi untuk penyebutan dan juga pemahaman
untuk mentafsir makna ujaran yang dipertuturkan. Namun, penutur bahasa pertama
juga menghadapi masalah yang sama iaitu pengaruh daripada pelbagai dialek
daerah. Walau apapun masalah yang timbul, guru memainkan peranan untuk
mengetahui dan memahami konsep kemahiran lisan ini dan mengajar kemahiran itu
kepada pelajar melalui aktiviti, dan bahan yang sesuai, kreatif dan menarik.
Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran pula boleh dipastikan dengan
mengaplikasikan pelbagai cara dan bentuk penilaian dan pengujian. Adalah
diharap strategi pengajaran yang kreatif, bahan yang menarik dan penilaian yang
berkesan, pelajar akan dapat menguasai kemahiran lisan yang terangkum di
dalamnya kemahiran mendengar dan bertutur, dengan baik , fasih dan bermakna
mengikut konteks dan wacana.
No comments:
Post a Comment